"Kau pergi la belajar dengan Wak Jedi tu. Mana tahu boleh jadi power macam Darth Vader." Han, nama singkat bagi Hantu, tunjuk kat satu orang tua yang tengah menyelongkar tong sampah kat tepi jalan. Kawan dia Ben pun tengok lalu tersengih.
"Huih! Mana dia nak ajar kalau niat nak join 'The Dark Side'. Cakap la kau nak jadi apprentice dia dulu, bila dah terer baru derhaka." Mol menambah sambil plucking gitar kapok lagu Metallica.
"Banyak la korang punya Jedi. Wak tu aku tengok macam orang tak betul je, kepala berdebu. Kalau betul dia tu Jedi Master macam Yoda tu mesti la dia tak kutip tin aluminium. " Ben, singkatan bagi 'bendul' nak taknak layan la jugak diorang merepek walau tak masuk dek akal.
"Kau tu la pandang rendah kat orang, tengok secara zahir memang nampak koman, batin dia kau tak tahu. " Han menegur Ben.
"Kalau korang nak sangat jadi anak murid Wak tu kenapa tak korang je pergi jumpa dia." Ben melatah bila ditegur kengkawan seperlepakannya.
"Kitorang mana la layak. Batin lemah. Tu yang hari-hari layan kopi tongkat ali ni, nak kuatkan tenaga batin. Muahahaha!" Kata Mol menguatkan hujjah Han sambil mengaku kelemahan sendiri.
"Cheh! Tepahape la teori Star Wars korang ni. Tau le minat filem George Lucas tu tapi pada-padalah. Tah apa hal pulak orang tua tak betul tu jadi mangsa imaginasi fiksyen sains kepalotak korang. " Ben heran.
"Hekeleh. Kau tu la tak bercampur dengan orang, mana nak tahu cerita. Kitorang semalam sepetang dok melayan dia borak pasal 'Imperial army', 'Storm Troopers', 'Dark Emperor' bagai dengan orang tua tu. Gila syok layan wa cakap lu. Siap dia ngaku George Lucas ambil cerita dia tapi tak ambil dia berlakon. Rasa nak berguling tahap kelakarnya." Han kalau bab menokok tambah cerita memang first class, sepuluh dia cerita, sebelas tak boleh percaya.
"Iyye ke? Dia yang bawak cerita? Pergh! Peminat hard-core Star Wars rupanya Wak tu ye. Panggil la dia cerita lagi." Ben pulak jadi excited bila dengar cerita Han.
"Tak maunya. Ni kan time kerja dia. Karang dah habis kerja baru dia lepak sini pekena teh. Tapi kalau orang ramai, dia tak duduk minum. Kalau kau nak timing best kau cari dia kat wakaf tepi masjid tu. Biasa petang-petang lepas Asar dia ambil angin kat situ. Terailah petang karang." Mol cukup arif tentang orang tua ni.
"Assalamualaikum Wak. Ambil angin ke?" Ben segan-segan mendekati orang tua ni yang tengah baik punya melepak kat wakaf tepi masjid.
"Takkan buang angin pulak. Batal air sembahyang." Wak jawab selamba.
"Dengar kata Wak suka cerita Star Wars, betul ke?" Ben tak pakai mukaddimah dah. Bantai straight aje.
"Ni mesti member kau cerita kat kau kan? Buang masa aku aje."
"Kenapa pula Wak?" Ben cuak bila Wak kata buang masa.
"Diorang gelakkan aku le tu. Yelah, siapalah kita." Jelas nampak kekecewaan di wajah Wak.
"Jangan ambil hatilah Wak. Diorang tu memang macam tu. Jahil." Ben duduk sebelah Wak walau tak di-offer.
"Kamu nak apa dengan aku? Ada tin kosong? Ke kamu tu yang tin kosong?"
"Hehehe, saya tak minum air tin Wak. Nak kata tin kosong, rasanya ye la kot, maklum le belajar tak tinggi." Ben jujur.
"Belajar ilmu Jedi nak? Wak boleh ajar."
"Wak Jedi master ke? Bukan nak kutuk tapi ye ke ada betul ilmu Jedi tu?" Ben dengan bendulnya bertanya walaupun dia tahu jawapannya, gamaknyalah.
"Apa pulak takde. Semua benda keliling kita ni ada 'The Force'. Hanya Jedi aje tau nak gunakan 'The Force' tu." Serius je Wak bagitau Ben macam real.
"Iyye ke Wak? Nak tau macam mana force tak force ni Wak?"
"Benda ni bukan boleh tengok dengan mata kepala. Guna mata hati. Aku nampak 'The Force' tu kuat dalam kau." Wak berkata dengan penuh bergaya macam berlakon dalam cerita Star Wars lagaknya.
"Heheh...Biar betul Wak. Pergh! Rasa macam Anakin Skywalker la pulak." Ben terang-terangan menyatakan minatnya pada watak Darth Vader.
"Kau kalau nak jadi macam Anakin, Wak taknak ajar. Dah terer, takabbur la pulak."
"Huish! Mana ada Wak. Tak mahu saya hidup pakai helmet doplohpat jam macam Darth Vader tu. Saya naik motor pun malas nak sarung helmet." Ben selaku mat rempit kampung menyatakan pendiriannya.
"Kalau macam tu takpe. Esok sebelum subuh jumpa aku kat sini." Arah Wak.
"Errr...Saya selalu subuh gajah la Wak. Kadang terus zohor." Ben memang jujur menyatakan kejahilan dan kekufurannya.
"Nak belajar ke tak?"
"Nak-nak-nak. Oklah esok saya tunggu sini sebelum subuh!" Ben takde pilihan. Nak sangat...Hambik!
"Kau dari mana ni Ben?" Tanya Mol sambil goreng lagu Cromox guna gitar kapoknya.
"Dari rumah. Ganti balik tidur. Ngantuk bangun pagi sangat."
"Kau bangun pagi? Menoreh hape?" Han menyampuk dengan gelak tawa.
"Taklah. Aku pergi jumpa Wak Jedi. Dia kata nak ajar aku ilmu Jedi."
"Muahaha...!!! Ni dah jadi anak murid dia la ni ye? Kahkahkah...!!!!" Mol terus berhenti petik gitar. Kelakar sangat le tu.
"Gelaklah puas-puas. Ni korang punya idealah ni. " Ben bengang.
"Habis tu pagi ni dia ajar apa? Cara nak angkat tin guna mata ke?" Han melawak.
"Mana ada. Dia ajar aku ambil wudhu. Pastu kena sembahyang jemaah kat masjid."
"Huahuahua..!!! Light saber dia ada bagi tak?" Mol mula la nak pekenakan Ben kaw-kaw.
"Light saber tengkorak korang. Dia bagi sabit. Kena tebas semak keliling masjid." Kehanginan Ben tampak jelas ternyata.
"Huahuahua...!!! Nyesal aku tak mintak jadi anak murid jugak. Kalau tak boleh tolong kau gotong-royong sekali. Huhuhuhu...!!!" Mol dapat punchline maut yang buat dia sendiri tergelak guling-guling.
"Ni sebelum zohor kena pergi masjid lagi. Letih!" Keluh Ben.
"Berapa kali sehari kau training?" Han mengesat-ngesat air mata yang berderai dalam tawa tadi.
"Lima. Tiap lima waktu aku kena jumpa dia kat masjid. Sekali miss terus kensel perguruan." Nyata Ben.
"Gila berat siot! Aku nak dapat satu waktu kat rumah pun susah. Hebat! Hebat! 'May the force be with you' lah! Hahaha...!!!" Mol tambah lagi satu punchline yang membuat mereka kembali gelak guling-guling atas tanah.
"Sedar tak sedar dah setahun kau jadi murid aku. Tak sia-sia Wak train kamu, kau memang Jedi sejati. Jangan kau terjebak dengan The Dark Side sudah." Wak berpesan pada Ben dengan penuh ikhlas sambil melepak kat wakaf tepi masjid bersama anak muridnya itu.
"InsyaAllah tak Wak. " Ben dengan konfiden tapi tak takabbur menyatakan ikrar pada gurunya.
"Jangan sekali-kali bagi nafsu amarah kamu timbul. Sekalipun berhadapan dengan Dark Emperor a.k.a Iblis laknatullah. Ingat, semua ni kuasa Allah, kita hanya hamba Dia yang lemah dan tiada kuasa kecuali Dia yang Maha Kuasa. Bila kita lupa siapa yang benar-benar berkuasa maka mudah kita jadi takabbur. Jadilah kita seperti Iblis." Ternyata apa yang dikiaskan dengan filem Star Wars dapat memudahkan Wak dalam mengajar Ben tentang hakikat perjuangan insan menentang musuh yang ghaib.
"Nak tanya sikit Wak, Jedi master takde kuasa special macam boleh terbang ke, angkat barang pakai fikiran ke?" Ben yang hakikatnya memang bendul masih mengharapkan keajaiban duniawi.
"Kalau pun ada kamu nak buat apa? Nak jadi riak, nak tunjukkan kat orang yang kamu tu ada kuasa? Nak orang puji kamu? Nak rasa diri kamu tu best? Tak cukup special ke apa yang Allah dah anugerahkan pada kamu selama ni?" Wak tegas menerangkan bahaya sesuatu keajaiban kerana biasanya akan menghijab manusia dari keajaiban yang berlaku depan mata mereka sehari-hari.
"Eheh, saje je tanya. " Ben tersengih.
"Hmmm...Saje takpe, jangan sengaja." Wak tak marah.
"Wei-wei-wei! Ben Kenobi dah sampai." Han sigung Mol yang tengah khusyuk goreng lagu Marty Friedman.
"Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh."
"Waalaikumsalam. Kau dari masjid ke Ben?" Han jawab salam Ben nak taknak je.
"Ha-ah. Tak nampak korang kat masjid tadi?" Ben tarik kerusi.
"Eheh, kena pergi masjid ke? Kitorang bukan macam kau, kau Jedi." Mol selamba menjawab sambil perli.
"Jedi tak Jedi. Korang ingat orang azan tu buat apa? Saja nak test vocal?" Ben pun dengan selamba melaser balik dengan penuh hikmah.
"Aku tengok kau sekarang berjubah berserban, ni uniform Jedi ke?" Mol tak puas hati nak pekenakan Ben balik.
"Uniform Jedi? Ni sunnah nabi kau tau tak? Korang pakai jean jeket ni sunnah siapa?" Ben sedih member-membernya mempersendakan sunnah Rasulullah s.a.w.
"Mentang-mentang dah jadi Jedi, kau asyik nak belasah kitorang je ye Ben. Macam la kitorang ni klon-klon storm troopers yang jahat tu. Sampai hati kau." Han berkias.
"Aku bukan saje-saje nak belasah korang, tapi sebagai kawan takkan aku nak terus tengok korang dijajah kerajaan Imperial yang lebih kepada 'The Dark Side' tu. Kalau pun korang tak nak jadi Jedi, taknak berjuang demi kebenaran, sekurang-kurangnya korang jangan la nafikan 'The Force' yang senantiasa wujud di sekeliling kamu tu. " Ben menasihatkan sahabat-sahabatnya yang masih bernaung dibawah kegelapan kejahilan.
"Kitorang mana la tau 'The Force' tu apa, kitorang bukan Jedi." Mol mengaku jahil walau masih sinis.
"Nak tau? Datang masjid zohor nanti. Oklah aku kena blah dulu. Akhir kata...'May The Force Be With You'. Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam" Han dan Mol jawab salam perlahan. Mereka berpandangan sesama sendiri.
"Betul jugak kata Ben, kita ni apa nak jadi entah. Baru tahun lepas dia berguru dengan Wak Jedi tu, tengok dah jadi apa. Walau tak jadi imam masjid, tapi aku dengar berebut makcik-makcik kat kampung ni nak buat dia menantu. Kita ni usahkan nak buat menantu, lalu pun tak pandang. Macam la kita ni hantu." Han tersedar betapa hampehnya mereka yang selama ini menghampehkan Ben yang berguru dengan Wak yang mereka anggap hampeh tu.
"Kau agak-agak Wak Jedi nak ke terima lagi apprentice baru? " Mol terasa ada sekelumit cahaya menembusi kalbunya yang bersarang kehitaman.
"Apasal? Kau pun nak jadi Jedi jugak ke? Muka macam Wookie ada hati nak join jadi Jedi." Han macam tak percaya Mol ada niat nak kembali ke jalan yang lurus.
"Kau pun apa kurangnya, sekali pandang saling tak tumpah macam Jabba The Hutt." Mol bengang. Melatah mengutuk memang lumrah mereka.
"Korang gaduhlah dulu ye, aku nak berambus." Bobba yang selama ni menjadi pak turut dalam kelompok mereka akhirnya bersuara.
"Kau nak kemana tu? Rumah kau bukan ke sana ke?" Han heran. Dia tahu sangat rumah Bobba, tempat dia tumpang makan sebab mak dia suka menjamu tetamu walau hari-hari datang tanpa jemu.
"Aku nak pergi masjid." Bobba jawab selamba. Lantaklah diorang nak kata apa.
Han dan Mol terdiam. Mol tengok Han, Han tengok Mol.
"Jomlah join."
show_faces='false'/>
1 Comments:
Seronok cerita ni
Post a Comment