22 March 2010

Menghina Yang Mulia

Berita Sudin Ajaib dan tindakan ‘sunnah’ nya telah berjaya menarik kembali minat saya melihat akhbar-akhbar. Sebelum ini, saya lebih suka membaca ruangan sukan dan kadang-kadang menjeling-jeling juga pada keputusan Da Ma Cai dan Sport Toto 4D. Ini kerana barangkali itu sahaja yang 100% boleh kita percaya dengan suratkhabar hari ini.

Wah. Sudin Ajaib memang seorang yang cukup kuat berpegang pada sunnah. Yang biasa saya dengar di surau Perindu, setiap kali selepas Isyak, bilamana ada dibacakan hadis-hadis Junjungan Mulia, bahawasanya, barangsiapa yang melaksanakan sunnah-sunnah Rasul di akhir zaman ini, umpama menggengam bara api. Jadi saya memang kagum dengan Sudin Ajaib ini.

Tidak. Jangan salah. Saya cuma ‘kagum’ dengan tindakan sempit dan memalukan beliau!
Siapa kata itu sunnah? Siapa berani berhujah mengatakan tindakannya itu benar-benar mengikut jalan yang diwasiatkan Nabi?

Adakah berkahwin dengan seorang budak perempuan, saya ulang, budak perempuan, tanpa kerelaan dan keizinan hatinya, adalah sunnah? Kalau ini dilakukan pada zaman nenek moyang dahulukala, yang sebahagian besar masyarakat hanya bertaklid buta, maka itu mungkin masih boleh kita ‘maaf’ kan.

Tapi, bila ia dilakukan di zaman ini, di mana orang ramai sudah mula mengkaji kebenaran hujjah dan tidak menganggap semua perkataan Ustaz adalah wahyu yang wajib diterima bulat-bulat, maka, itu bermaksud ada masalah dalam pemahaman agama masyarakat zaman sekarang yang mengaku sudah mencapai kemodenan itu.

Sebab itu saya merasa malu benar bila membaca berita tentang Sudin Ajaib ini. Apatah lagi bila media sentiasa mengulang-ulang, mengaitkan tindakan Sudin dengan jemaah Tabligh. Ini tambah meanaikkan lagi kemarahan. Media nampak seperti sengaja mahu memburuk-burukkan jemaah itu. Sedangkan sepanjang pengatahuan dan pengalaman saya, jemaah ini adalah antara yang sentiasa berada dalam barisan hadapan, dengan penuh ikhlas, tawadduk, dan istiqamah dalam menyampaikan dakwah. Saya tahu, kerap kali jemaah Tabligh yang mulia ini disalah anggap dan dikeji-keji, hatta oleh sebahagaian golongan ‘agamawan’ negara kita. Sudahlah tidak mahu menyokong, bahkan bertolong-tolongan dalam mengeji pula. Ah, barangkali bilik berhawa dingin dan kereta siap dengan drebar telahpun melumpuhkan dan memandulkan minda mereka.

Itulah ingin saya katakan di sini, bahawa inilah akibatnya beramal tanpa ilmu yang merupakan satu kebodohan! Perkahwinan ialah penyatuan secara suci dan halal dalam ikatan cinta yang tali simpulnya ialah iman. Ikatan cinta apa kalau yang di sebelah pihak satu lagi tidak rela? Saya simpati bila membaca yang budak perempuan itu menangis teresak-esak tidak mahu dikahwinkan dengan lelaki yang merupakan rakan ayahnya itu.

Mengaitkan ini dengan kisah Ummul Mukminin Saidatina Aishah Rh untuk menyokong perbuatan ini merupakan satu lagi hujah beramal tanpa ilmu yang saya katakan tadi. Bukankan Ummul Mukminin berkahwin dengan Rasulullah secara rela, bukan paksa? Maka di mana hujah menyokong tindakan kamu, wahai mereka yang mendakwa diri pembela sunnah? Kalian bukan membela sunnah, tapi sesungguhnya kalian telah memalitkan dan melemparkan kekotoran pada sunnah Nabi Allah yang mulia itu!
Itulah gunanya akal. Bukan hanya mengikut secara sembrono tanpa difikir-fikir lagi.

Kata Pendita Za’Ba,

“Pendeknya pada apa-apa perkara pun tidaklah terus diikut dengan buta tuli sahaja, melainkan sentiasa ditimbang dahulu, diuji baik atau tidaknya dengan akal dan dengan apa-apa ilmu pengetahuan yang ada kepada kita sendiri. Setelah nyata betulnya atau baiknya, atau sekurang-kurang setelah nyata patutnya pada timbangan akal sendiri itu, baharulah diterima.” - Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, DBP, Cetakan Ketiga 1987.

Maka, timbangan akal waras manakah yang mengatakan tindakan memaksa perempuan berkahwin bukan pada cintanya, adalah tindakan yang baik?
show_faces='false'/>

0 Comments:

Post a Comment