02 March 2010

Jangan Jadikan Maulud Nabi Modal Untuk Bertekak

Sudah menjadi tradisi kita untuk setiap tahun, ialah sambutan Maulud Nabi. Ianya biasa disambut dengan perarakan membawa sepanduk yang bermacam warna-warna dan berkilau lip lap untuk menunjukkan tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Saya ingat sewaktu kecil, saya sering terlibat dalam perarakan ini. Malah, sebelum 12 Rabiulawal lagi kami sudah berarak mengelilingi kawasan Sekolah Agama Umbai itu, sebagai persiadaan untuk perarakan sebenar sewaktu tanggal tarikh 12 Rabiulawal. Saya yang masih kecil-kecil bendul itu, beraraklah dalam panas. Ada rakan-rakan saya yang akan curi-curi keluar dan pergi ke kedai membeli pop ais. Saya dengki amat kerana saya tidak mungkin dapat keluar dari barisan, kerana ustazah meletakkan saya untuk berada paling depan disebabkan saiz badan yang kecil.

Memang ia tidak pernah dilakukan oleh generasi Assalafussoleh yang mulia itu. Apapun, ia tidaklah salah. Ini adalah salah satu cara budaya yang memang sudah lama dan sebati dalam masyrakat. Yang salahnya bila ia dikatakan punyai fadhilat.

Turut menjadi masalah ialah apabila Perarakan Maulud Nabi ini dijadikan ‘tanda paling penting’ atau komponen yang perlu ada sebagai tanda cinta kita pada Baginda Yang Mulia itu. Sejak bila pula perkara ini diwajibkan dan perkara ‘mesti buat’?

Seharusnya tidaklah kita ini menjadi seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Lihatlah pada sejarah, bagaimana mereka telah meraikan kelahiran Nabi dengan penuh kegembiraan. Mereka jugalah orang sama yang ‘meraikan’ kerasulan Nabi dengan penuh permusuhan!

Bagaimana kita ini? Menyambut Maulud Nabi secara besar-besaran, sementara sunnah dan perintah baginda kita tinggalkan besar-besaran juga? Ini satu sifat hipokrit yang harus kita jauhi jika kita tidak mahu menjadi seperti ‘dua orang Abu’ itu.

Mengambil kembali Al-Quran dan sunnah serta tidak memisah-misahkannya dari hal ehwal kehidupan, itulah yang sebenarnya tanda cinta kita. Ini termasuklah menerapkan segala hukum-hukum Islam dalam segenap penjuru urusan hidup, samada ekonomi, pemerintahan, undang-undang, hatta hendak makan sekalipun.

Apa erti berarak sewaktu maulud nabi, tapi makannya bersulamkan arak? Apa gunanya berada di barisan paling depan sekali waktu perbarisan, kalau rasuahnya penuh berkoyan-koyan? Adapun saya yang hina dina ini tiadalah mahu menuduh mahupun menunding jari pada sesiapa pun, akan tetapi kata peribahasa, ‘Siapa makan sos Campbell, dialah yang terasa pedasnya’.






sabda Rasulullah s.a.w di dalam hadisnya:
Ertinya: “Tiga perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang, maka dia akan dapat merasa kemanisan iman: (Pertama) Untuk seseorang mencinta Allah dan Rasulnya lebih dari semua perkara yang lain, (Kedua) untuk seseorang mencintai orang yang lain disebabkan cintanya kepada Allah, (dan yang Ketiga) untuk seseorang itu benci pulang kepada kekafiran selepas Allah menyelamatkannya, sebagaimana dia benci untuk dilemparkan di dalam api neraka.”





Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” surah At-Taubah ayat 24

show_faces='false'/>

0 Comments:

Post a Comment