26 August 2009

Niat Teras Amalan

Seuntai Kata Dari Meja Pensyarah Fakulti

Tanggal 22 Julai merupakan tarikh istimewa di mana berlangsungnya wawancara di antara Krew As- Syifa’ dan juga seseorang yang sangat dihormati dan tidak asing lagi bagi para pelajar Fakulti Perubatan iaitu Prof. Dr. Mohd Hamim Rajikin yang kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Dekan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni fakulti. Kami telah menemui Prof Hamim dengan harapan menerima input yang berguna serta nasihat yang boleh dijadikan pedoman setiap pelajar. Berikut merupakan isi- isi penting wawancara kami.

1. Prof, bolehkah prof jelaskan mengenai kepentingan niat dan apakah niat yang patut ditanam dalam diri setiap pelajar ketika menuntut ilmu seterusnya sesudah berkerjaya sebagai seorang doktor?

Niat memang sangat penting, kesemua pekerjaan yang kita lakukan akan berdasarkan kepada niat kita. Amalan yang baik tapi dilakukan dengan niat yang salah tidak diterima Allah berbanding dengan amalan yang nampak mudah tetapi dilakukan dengan penuh keikhlasan. Seperti dalam hadith Nabi s.a.w. yang sering kita dengar,

“Sesungguhnya setiap perbuatan tergantung niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.)

Tetapi Islam tidak pula menerima falsafah niat menghalalkan cara. Cara melakukan sesuatu perkara amat penting, dan mestilah berteraskan niat yang betul. Sebagai contoh, jika seseorang itu bertutur dengan sopan dan menghormati orang lebih tua tetapi dengan niat hanya untuk mengikut adat Melayu, ianya masih kurang betul. Tetapi kalau diniatkan untuk mengikuti perintah Allah dan sunnah Nabi s.a.w, amalan tadi mendapat dua manafaat iaitu pahala di sisi Allah s.w.t. dan pada waktu yang sama memenuhi adat kebiasaan. Sebagai pelajar yang baru melangkah masuk ke fakulti, seeloknya pasanglah niat sebagai hamba Allah, datang untuk menuntut ilmu yang akan dimanfaatkan untuk kebaikan manusia lain. Apabila sudah menjadi doktor, anda bukan sekadar merawat jasmani pesakit sahaja, malah tugas doktor mempunyai skop yang jauh lebih luas, iaitu untuk memelihara agama, memelihara jasad, memelihara aqal, memelihara harta dan memelihara keturunan seseorang pesakit. Misalan, seorang doktor merawat kaki pesakit yang patah, yang dengan rawatan tersebut pesakit boleh melaksanakan solat dengan sempurna, maka agama (iman dan amalan ) pesakit telah terpelihara. Selain itu, doktor juga merupakan seorang da’ie yang boleh mengajar pesakit cara- cara beribadah ketika sedang sakit. Doktor bukan setakat memberi medical prescription malah spiritual prescription atau lebih tepat lagi Islamic prescription kepada pesakit. Doktor dan pesakit kedua-duanya tidak boleh beranggapan bahawa doktor atau ubat- ubatan yang menyembuhkan pesakit, malah perlu diingatkan bahawa hanya Allah lah yang menyembuhkan segala penyakit. Rawatan adalah satu tanggung jawab dan ikhtiar, selari dengan sabda Nabi s.a.w. bahawa setiap penyakit ada ubatnya kecuali maut, jadi kita sebagai hamba hanya berusaha, dan perawatan mestilah dilaksanakan dengan betul dan profesional. Selepas habis segala proses ini, berserahlah kepada Allah kerana Yang akan menyembuhkan, hanyalah Allah s.w.t. sebagaimana firman Allah bermaksud

“Dan apabila aku sakit, Dialah Yang menyembuhkan aku” (Asy- Syu’araa’, ayat 80)
2. Seterusnya, bagaimanakah seseorang pelajar itu harus membahagikan masanya?

Sebenarnya tugas utama seorang pelajar adalah untuk belajar, dan di samping itu bolehlah melakukan kerja- kerja lain yang membawa ke arah kebaikan. Sebagai contoh, kerja- kerja agama, komuniti, bersukan, kokurikulum, dan sebagainya. Apa yang utama ialah segala perbuatan yang dilakukan diniatkan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dilaksanakan mengikut syariat Islam. Kita perlu melakukannya dengan bersungguh- sungguh dan menggunakan masa yang ada dengan bijak. Ini selari dengan kedudukan kita sebagai umat yang terbaik (khairu-ummah) yang akan sentiasa mengajak manusia ke arah kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar.

3. Akhir kata, apakah nasihat atau pesanan yang ingin Prof. sampaikan kepada semua pelajar Fakulti Perubatan, terutamanya pelajar tahun Pertama dan Kedua?

Allah sukakan kita menjadi terbaik dalam apa- apa hal. Berusahalah bersungguh- sungguh untuk mendapatkan yang terbaik atau ‘distinction’ dalam apa bidang pun. Tetapi, jadikan ianya sebagai ‘alat’ bukan ‘tujuan’ atau’maksud’. Dapatkan ‘distinction’ untuk menjadi orang yang cemerlang. Apabila cemerlang, bolehlah menjadi doktor yang terbaik dalam semua aspek termasuk mental dan spiritual. Kelulusan merupakn satu alat, bukan maksud. Terutamanya bagi yang terlibat dengan gerak kerja Islam, tunjukkan contoh yang baik dan berusahalah untuk tidak menjadi fitnah kepada agama. Demikian juga halnya dengan menjadi seorang doktor, ianya bukan tujuan hidup, tetapi alat untuk berkhidmat kepada manusia dan mencapai kebaikan dunia dan akhirat. Segala- gala di dunia ini sekadar menjadi alat atau keperluan untuk mencapai tujuan kita yang sebenar- benarnya iaitu mendapat keredhaan Allah. Akhir sekali, kepada pelajar ‘senior’, tunjukkan contoh yang baik untuk adik- adik tahun pertama dan berikanlah tunjuk ajar kepada mereka.

show_faces='false'/>

0 Comments:

Post a Comment