INDAHNYA DIRIMU YA RASULULLAH
by Muwassya wakil PHPM posting 5th rotation
Walaupun sudah lebih 1400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan dan organisasi yang terus berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW. Inilah salah satu tanda keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW yang dapat kita lihat dalam kehidupan kita hari ini.
Antara pendekatan-pendekatan utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah, kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad. Mungkin kerana keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, walaupun mereka ini sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk dakwah yang terhasil pada hari ini berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatan mengikut individu, kumpulan atau organisasi tersebut.
Namun, kita sebagai salah seorang umatnya, apakah kita hanya mampu melihat dan berdiam diri menunggu orang lain untuk meneruskan sunnah dan perjuangan baginda? Tidak perlu untuk kita bersusah payah memegang senjata untuk melaksanakan perjuangan Baginda. Hakikatnya kita sebagai seorang pelajar pun sudah boleh untuk meneruskan dakwah Baginda yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT.
Dalam kepelbagaian 'jalan' yang dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi. Malah, kita sebagai seorang pelajar adalah terdiri daripada sebahagian institusi pendidikan, bukan?
Keutamaan pendidikan dan pendidik sebagai misi utama Nabi SAW jelas tertulis dalam sumber al-Quran dan hadis seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu'ah : 2)
Manakala satu hadis yang menarik dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata: "Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan. Salah satu daripadanya manusia yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar. Lalu bersabda Rasulullah SAW berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka, nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka sesungguhnya saya diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)
Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai keperibadiannya. Lahirlah di tangan Baginda SAW, tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.
Kita juga sebagai seorang pelajar, berada dalam institusi perubatan ini, dan merupakan bakal-bakal doktor sepatutnya mengambil peluang ini untuk mendalami ilmu – ilmu fardhu ain seperti Al-Quran dan tajwid disamping mempelajari ilmu fardhu kifayah iaitu ilmu perubatan ini dengan sebaik-baiknya. Beruntunglah kita jikalau ketika masih muda belia dapat memanfaatkan masa, tenaga dan kesihatan ini untuk mendalami ilmu yang bermanfaat seterusnya mempraktikkannya untuk kebaikan diri kita sendiri dan masyarakat umumnya. Sebagai contoh, kita boleh mengajar ahli keluarga kita atau pesakit-pesakit bagaimana mudahnya untuk solat ketika sakit. Tidak perlu tunggu hingga kita sudah menjadi doctor, malah kita yang masih belajar ini pun boleh menyebarkan ilmu yang kita dalami. Bukan itu sahaja, dengan akhlak yang terpuji hasil daripada usaha kita untuk mencontohi dan mengamalkan sunnah Baginda, dapat lah kita berdakwah secara tidak langsung dan menarik lebih ramai masyarakat di luar sana untuk bersama-sama mengamalkan sunnah Baginda.
Penekanan dan keutamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.
Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaidada merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata, Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari. Baginda memuji Allah SWT dan berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat kebaikan dan melarang membuat keburukan."
Oleh itu, apabila kita yang merupakan seorang yang berilmu tetapi tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang kurang pandai tetapi tidak menunaikan tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat hukuman denda terhadap kecuaian mereka.
Malah, umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan." Daripada pengertian hadis ini, dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengkaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan. Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada daripada ilmu yang tidak bermanfaat.
Hakikatnya, masih banyak lagi hadis-hadis Baginda yang menegaskan akan kepentingan ilmu dalam dakwah ini. Kita tidak perlu mengeluarkan tenaga sehabis keringat bak di dalam peperangan, membelanjakan wang untuk meneruskan perjuangan Baginda. Cukuplah dengan mempelajari ilmu yang bermanfaat sebaik mungkin, berakhlak dengan akhlak Baginda dan mengamalkan ilmu tersebut untuk kebaikan umat seluruhnya.
show_faces='false'/>
1 Comments:
Dalam kita mahu menyebarkan ilmu bermanfaat tersebut, mengajak manusia menuju Allah.. apabila ada rintangan di tengah jalan.. pasti memerlukan pengorbanan dari segi masa, wang dan tenaga.. mungkin x sehebat dalam peperangan, tapi pengorbanan itu tetap ada ;)
Post a Comment