01 April 2012

Hasil Karya Pertandingan Penulisan Kreatif -The Series


 Sahabat-sahabat masih ingat lagi betapa meriahnya sambutan Maulidur Rasul kita tempoh hari? =) Alhamdulillah, jelas terpancar semangat cintakan Rasulullah dari ramai pelajar,  sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sambutan tersebut. Tapi takkanlah terhenti setakat itu saja...

Di sini, kami akan mempersembahkan hasil - hasil karya semua peserta yang memasuki Pertandingan Penulisan Kreatif, secara berkala untuk menyuburkan lagi cinta kepada Kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w. Semua karya mantap-mantap belaka, menyebabkan kesukaran dari pihak para juri untuk memilih pemenangnya.. Akhirnya karya inilah yang dinobat sebagai pemenang utama. Tahniah kepada saudari Syamimah! Tahniah juga kepada semua yang turut serta.. Moga dengan hasil karya anda, benih-benih cinta kepada Rasulullah tersebar meluas dan mekar dalam hati - hati para pembaca.. insyaAllah.



Jangan lupa selawat ke atas nabi ya! :)

BERBEZANYA AKHLAK RASULULLAH SAW

Oleh: Syamimah Binti Ismail  (Posting PHPM A & E)

Kehidupan sebagai ‘medical student’ begitu menguji keimanan dan kesabaran. Seringkali diriku tewas. Dengan ‘assignment’ yang menimbun, seminar, ‘case presentation’, ‘case write-up’, membuatkan diriku sukar untuk membahagi masa dengan baik. Namun, dalam masa yang sama, aku suka melihat dan mengkaji personaliti manusia. Setiap orang mempunyai personaliti masing-masing. Ada yang menunjukkan sikap cepat mengeluh, cepat marah, sedih, dan lain-lain sikap tidak kiralah negatif mahupun positif ketika menghadapi sesuatu masalah.

Semasa berada di hospital, aku berpeluang melihat karakter sesetengah doktor pakar dan ‘Medical Officer’ yang  berada dalam keadaan yang sungguh tertekan ketika menghadapi sesuatu masalah. Jururawat yang sangat ayu pun jadi tak ayu dalam keadaan tersebut.

Dalam keadaan stress, saat itulah kita mengenal diri sendiri. Akhlak kita yang sebenar-benarnya terlahir dalam keadaan stress. Kita kenal sahabat-sahabat kita dengan sebenarnya juga dalam suasana yang penuh tekanan kan?

Tapi berbeza dengan akhlak Rasulullah SAW. Sebagai contohnya dalam peristiwa Perang Khandak, di mana kaum Quraisy ingin menumpaskan kesemua kaum Muslimin. Mereka menubuhkan satu pasukan perang yang besar iaitu seramai 10,000 orang  jika dibandingkan dengan jumlah tentera Islam pada ketika itu yang hanya seramai 3,000 orang.

Dalam keadaan yang ‘super-duper’ stress itu pun, para sahabat dapat melihat akhlak Rasulullah SAW yang sangat hebat. Rasulullah SAW berjaya maintain malah akhlaknya lebih sempurna dalam keadaan yang sangat cemas. Keadaan tersebut bukan perihal menyelamatkan nyawa di hospital, tapi suasana menyelamatkan Islam. Bilangan musuh ketika itu boleh menghancurkan umat islam sehabisnya... Bayangkan...

Rasulullah s.a.w. keluar menggali parit pertahanan bersama-sama kaum Muslimin. Dalam masa yang sama, Rasulullah SAW turut menyanyikan sajak bersama mereka dengan suara yang tinggi semasa bekerja. Mereka menyanyikan sajak-sajak yang bersahaja yang digubah dari kejadian-kejadian yang berlaku. Misalnya ketika itu ada seorang Islam bernama Ju’ayl. Rasulullah SAW tidak sukakan nama ini, lalu mengubahkannya kepada nama ‘Amr. Lalu orang-orang Muslimin yang berkerja menggali parit itu mendendangkan beramai-ramai sebuah sajak mengenainya yang bersahaja:

Samma min ba’di Ju’ayl amran ... amran, wa kana lil baisi zahran.... zahran...
 
Beliau menukar namanya
Dari Juayl kepada Amr
Setiap hari ada sahaja
Beliau menolong si malang derita

    Apabila mereka mendendangkan kata-kata “Amr”, Rasulullah SAW turut meningkah “Amran”. Begitu juga apabila mereka mendendangkan kata-kata “Zah” beliau turut meningkah “Zahran”. Di sini dapatlah kita gambarkan betapa mesranya suasana ketika itu, di mana kaum Muslimin bekerja keras (menggali parit) dan Rasulullah SAW turut serta memotong dengan kapak, menyodok tanah dengan penyodok-penyodok, mengangkut tanah dengan keranjang-keranjang dan menyanyikan sajak ini bersama-sama mereka.

    Terkadang aku membayangkan dalam kehidupanku, andai Rasulullah SAW bersamaku, bagaimana agaknya Rasulullah SAW seandainya dia seorang doktor pakar/ MO/ murabbi?
Aku terlalu merinduimu, ya Rasulullah... Terbayang bagaimana Rasulullah SAW juga menggali parit ... Terbayang mereka menyanyikan sajak bersama-sama..

    Ketika peperangan ini juga, cuaca agak dingin dan bekalan makanan tidak mencukupi sehingga Abu Talhah mengatakan: “Kami mengadu kebuluran itu kepada Rasulullah SAW dan kami tunjukkan batu demi batu yang diikat diperut kami lalu nabi juga menunjukkan dua ketul batu diperutnya”. Tujuan diikat batu ini menurut setengah ulama’ adalah bagi menegakkan tulang belakang yang boleh menahan lapar. Di sini kita dapat lihat bagaimana Rasullulah SAW sebagai pemimpin turut bersama merasai susah dalam menyiapkan parit bagi menghadapi musuh.

    Ini memberi pengajaran kepada kita bagaimana dalam keadaan susah mahupun senang, adalah menjadi tanggung jawab bersama. Dan bukannya bila ada masalah pemimpin duduk bersenang-lenang dan hanya orang bawahan sahaja yang menanggung kesusahan tersebut.  

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:
“Sesungguhnya pada akhlak Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.   (Surah Al-Ahzab: Ayat 21)

    Sepertimana dalam ayat di atas, bukankah baginda kita akui sebagai role model dalam kehidupan? Jadi mengapa kita tidak belajar dari Rasulullah SAW untuk melakukan perubahan?


PS; Nantikan karya yang seterusnya minggu depan!

show_faces='false'/>

1 Comments:

EDDYCOOL~ said...

BEST

Post a Comment