24 April 2012

Penulisan Kreatif the series- 3rd winner!


Pemantapan iman membesarkan peranan


Ahmad, ceritakan pada Adik tentang Perang Badar.

Ahmad banyak kerja lah,Adik. Sekilas dia melihat Adik yang sedang membetulkan sila disebelahnya. Tapi.. mana Adik dengar tentang Perang Badar?

Adik tidak dengar, tapi Adik terbaca tajuk buku yang ada dalam rak buku Ahmad.

Oh. Ahmad terdiam sejenak.

Ahmad betul-betul tak boleh cerita pada Adik?

Apa yang Adik mahu tahu?

Apa-apa pun boleh.

Adik tahu berapa ramai tentera Islam dalam perang Badar?

300.

Wow, bagusnya Adik.

Adik senyum menampakkan gigi penuh tersusun. 2 batang gigi kacip masih terletak senget. 

Tapi kenapa 300 je? Bukan Rasulullah dah berbelas tahun ke menyebarkan Islam? 300 je?

300 yang mantap, Adik. Dengan 300 itulah, Islam sampai pada kita. Merekalah ejen-ejennya.

Adik angguk. Tapi Adik tidak faham. Ahmad sila jelaskan.

Ini mungkin berat untuk Adik.

Tak apa, Adik dengar dan cuba ingat. Nanti bila Adik sudah 20 tahun, adik mesti boleh faham. Bila sudah besar sepatutnya lebih bijak untuk faham.

Ahmad gelak. Ini mungkin berat untuk Adik faham sekarang, tapi..baiklah. Sepanjang 13 tahun Rasulullah berdakwah di Mekah, tidak ramai yang memeluk Islam. Jumlahnya sedikit. Mungkin mereka yang tinggal di kampus perubatan depan apartment kita ini lebih ramai dari mereka yang memeluk Islam waktu itu. Tetapi, jumlah yang sedikit itu, setiap satunya kuat!

Kuat? Mereka selalu ke gym macam Abang?

Tak. Tak. Ahmad tergelak. Mereka kuat kerana mereka ditarbiyahkan dengan tarbiyah paling asas sekali.

Ahmad sila jangan guna bahasa Arab.

Oh, maaf, maaf. Tarbiyah itu maksudnya proses didikan. Pembelajaran. Rasulullah mendidik umatnya untuk mentauhidkan Allah, meninggalkan jahiliyyah. Rasulullah sememangnya mengutamakan keimanan manusia pada keesaan Allah. Pada zaman itu, wahyu yang diturunkan tidak lebih dari isu pokok ini, dan hanya pada masa dimana umat Islam sudah kuat imannya, barulah turun  isu-isu yang lainnya. Kerana Allah tahu, itulah strategi yang terbaik untuk menang. Dan itulah yang Rasulullah lakukan.

Adik dengar, Adik masih mendengar.

Dalam proses tarbiyah, maaf, mendidik manusia kearah mentauhidkan Allah, pengikut Rasulullah waktu itu diseksa dengan amat dahsyat. Digergaji kepalanya hingga terbelah dua, disisir besi sehingga nampaknya tulang tetapi hal-hal ini tidak memalingkan mereka dari Allah. Bayangkan, kalau ini pun mereka tidak gentar, mereka pastinya boleh ambil SPM tanpa tekanan langsung. Baca sajalah buku itu, apa susah!

Adik ketawa mengekeh.

Tapi SPM itu cuma celah gigi sahaja. Sama jugalah peperiksaan yang Ahmad bakal duduki tidak lama lagi. Ahmad mengeluh. Hebat sungguh mereka pada waktu itu Adik. Ahmad dengan tekanan macam ini pun, terasa macam mahu melepaskan geram di Status Facebook sahaja.

Adik ketawa lagi sambil mencapai bantal di hujung katil. Sudah mengantuk gamaknya.

Hikmah kebijaksaan Allah dalam mengatur strategi inilah telah membolehkan umat Islam pada masa itu untuk maju kehadapan biarpun dilanda pelbagai tentangan. Cukup dengan iman di dada, mereka mampu menjadi yang paling kuat, paling bijak, paling licik dalam berurusan. Mereka tidak perlu 3 tahun belajar ilmu keusahawanan, tetapi mereka boleh menjana wang dengan menggunakan semut di bawah batu sahaja.

Tipu.

Betullah Adik. Apa tipu pula. Ini kisah Abdul Rahman bin Auf. Beliau antara yang terawal di Islamkan. Kalau sebelum Islam beliau sudah bijak berniaga, selepas menganut Islam, berganda-ganda hasilnya. Ingat adik, Rasulullah pada waktu itu amat mementingkan kekuatan iman mereka. Paling asas, tetapi itulah yang kita remehkan sekarang ini. Kita terlalu leka dengan benda-benda dunia. Bila sebut pasal agama, mula lah dilabel kuno.  Kasihannya kita ni. Kita kurang diberi pendedahan tentang  insan-insan yang dikagumi ramai (worldwide gitu). Asas mereka ialah tauhid. Keyakinan mereka pada Allah. Dan dengan keyakinan inilah, kegemilan yang lainnya ikut sekali.

Oh, adik faham. Silapnya kita ialah bila kita memperlekehkan strategi Rasulullah itu. Adik menguap sekejap. Teruknya kita. Kenapa kita memperlekehkan benda penting itu Ahmad?

Entahlah. Kita memperlekehkan strategi yang bijak, sekaligus kita memperlekehkan diri sendiri dengan bodohnya sekali.

Jadi, apa yang kita boleh buat sekarang?

Kita mula dengan diri sendiri dahulu! Kalau sistem sekarang tidak mengutamakan asas yang penting ini, kita carilah sistem yang betul. Ada Adik, ada! Jangan buta padahal sudah diberi mata dan hati untuk mencari. Kita harus keluar dari kelompok masyarakat yang menakutkan ini.

Adik mengecilkan mata serupa orang rabun.

Bila kita sudah ada sedikit asas yang betul itu, kita bawa mereka yang kita kenal pula. Sikit-sikit. Kita gerak bersama. Islam pasti naik kembali nanti. Pasti! Kalau pun kita tak dapat menyumbang secara besar-besaran, sekurang-kurangnya, kita bukan dari pihak yang menjunamkan lagi Islam itu.

Ohohhh.

Panjangnya ohohh. Sebenarnya Adik nak menguapkan?

Adik tersengih.

Adik faham tak apa Ahmad cakap ni?

Faham, mungkin.

Apa dia?

Didikan eh tarbiyah itu penting.  Kita ikut cara Rasulullah. Kuatkan iman kita pada Allah dan kekuasaannya. Hebatnya kita dalam Islam akan menjadikan kita hebat dalam hal lainnya.

Wah, Adik ayat macam budak lepasan SPM. Pandainya. Budak universiti belajar tinggi-tinggi pun tak ambil tahu pasal ini. Kerjanya main, makan dan kadang-kadang sahaja mereka study. Kalau kuat study pun, takut juga niatnya untuk dunia saja. Macam Ahmad lah. Wah, takutnya. Ahmad menggigil tiba-tiba.

Apa Ahmad ini. Adik nak tidur. Dah. Terima kasih sebab ceita pasal Perang Badar.

Eh Adik. Itu bukan cerita perang Badar yang betul lagi. Itu..baru intro.

Intro lah yang penting Ahmad. Tanpa intro yang mantap, takkan lah jalan ceritanya akan mantap juga.


=) The End




09 April 2012

Penulisan Kreatif the series- 2nd winner!

INDAHNYA DIRIMU YA RASULULLAH 
by Muwassya wakil PHPM posting 5th rotation

            Walaupun sudah lebih 1400 tahun Baginda SAW meninggalkan kita, tetap akan ada sejumlah individu, kumpulan dan organisasi yang terus berusaha untuk menyambung misi perjuangan Rasulullah SAW. Inilah salah satu tanda keagungan Allah SWT dan kemukjizatan Rasul-Nya SAW yang dapat kita lihat dalam kehidupan kita hari ini.

            Antara pendekatan-pendekatan utama yang dapat kita perhatikan ialah pendidikan, kebajikan, politik, dakwah, kerohanian, ekonomi dan termasuk juga jihad. Mungkin kerana keluasan skop misi perjuangan Rasulullah SAW, kita dapati, walaupun mereka ini sama bersemangat untuk menyambung misi perjuangan beliau, akhirnya bentuk dakwah yang terhasil pada hari ini berbeza-beza pendekatan dan acuan penghayatan mengikut individu, kumpulan atau organisasi tersebut.

            Namun, kita sebagai salah seorang umatnya, apakah kita hanya mampu melihat dan berdiam diri menunggu orang lain untuk meneruskan sunnah dan perjuangan baginda? Tidak perlu untuk kita bersusah payah memegang senjata untuk melaksanakan perjuangan Baginda. Hakikatnya kita sebagai seorang pelajar pun sudah boleh untuk meneruskan dakwah Baginda yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

            Dalam kepelbagaian 'jalan' yang dipilih, perlu rasanya dibuat penegasan bahawa misi utama dan teras kepada perjuangan Rasulullah SAW adalah pendidikan. Malah tidak salah dikatakan bahawa dimensi pendidikanlah yang lazimnya menjadi penentu kualiti dan keberkesanan sudut-sudut lain perjuangan warisan Nabawi. Malah, kita sebagai seorang pelajar adalah terdiri daripada sebahagian institusi pendidikan, bukan?

            Keutamaan pendidikan dan pendidik sebagai misi utama Nabi SAW jelas tertulis dalam sumber al-Quran dan hadis seperti dalam ayat yang bermaksud: Dia lah Yang telah mengutuskan Dalam kalangan orang-orang (Arab) Yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dari bangsa mereka sendiri, Yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad Yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan Yang mendalam mengenai hukum-hukum Syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad SAW) itu adalah Dalam kesesatan yang nyata. (al-Jumu'ah : 2)

            Manakala satu hadis yang menarik dalam soal ini ada diriwayatkan oleh Ibnu Majah dalam sunannya dan al-Darimi dalam sunannya daripada Abdullah ibnu Amru ibnu al 'Aas r.a, beliau berkata: "Pada satu hari, Rasulullah SAW keluar daripada salah satu biliknya dan masuk ke masjid lalu Baginda berada antara dua kumpulan. Salah satu daripadanya manusia yang sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah Taala. Sementara yang satu kumpulan lagi sedang belajar dan mengajar. Lalu bersabda Rasulullah SAW berkata: "Kesemua mereka adalah baik. Adapun orang yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT, jikalau Allah SWT inginkan kebaikan kepada mereka, nescaya Allah SWT akan beri, jikalau Allah SWT tidak menginginkan maka Dia akan menegahnya. Adapun orang yang mengajar dan belajar, maka sesungguhnya saya diutuskan sebagai pendidik," lalu Rasulullah SAW duduk bersama kumpulan mereka." (Sunan Ibnu Majah :1:83)

            Bukti kejayaan Nabi SAW sebagai pendidik terlihat pada kualiti insan sebelum Baginda dibangkitkan dan sesudahnya. Baginda telah berhasil mengubah masyarakat jahiliah yang tandus daripada nilai kemanusiaan kepada satu generasi yang paling tinggi nilai keperibadiannya. Lahirlah di tangan Baginda SAW, tokoh-tokoh perkasa berkeperibadian luhur yang muncul memimpin manusia secara sambung-menyambung hingga buahnya dapat dinikmati hingga ke zaman ini.

            Kita juga sebagai seorang pelajar, berada dalam institusi perubatan ini, dan merupakan bakal-bakal doktor sepatutnya mengambil peluang ini untuk mendalami ilmu – ilmu fardhu ain seperti Al-Quran dan tajwid disamping mempelajari ilmu fardhu kifayah iaitu ilmu perubatan ini dengan sebaik-baiknya. Beruntunglah kita jikalau ketika masih muda belia dapat memanfaatkan masa, tenaga dan kesihatan ini untuk mendalami ilmu yang bermanfaat seterusnya mempraktikkannya untuk kebaikan diri kita sendiri dan masyarakat umumnya. Sebagai contoh, kita boleh mengajar ahli keluarga kita atau pesakit-pesakit bagaimana mudahnya untuk solat ketika sakit. Tidak perlu tunggu hingga kita sudah menjadi doctor, malah kita yang masih belajar ini pun boleh menyebarkan ilmu yang kita dalami. Bukan itu sahaja, dengan akhlak yang terpuji hasil daripada usaha kita untuk mencontohi dan mengamalkan sunnah Baginda, dapat lah kita berdakwah secara tidak langsung dan menarik lebih ramai masyarakat di luar sana untuk bersama-sama mengamalkan sunnah Baginda.

            Penekanan dan keutamaan yang diberikan oleh Rasulullah SAW terhadap pendidikan juga dapat dirasakan apabila kita meninjau beberapa sikap Rasulullah SAW dalam aspek ini.
Kitab al-Targhib wa al-Tarhib oleh al Hafiz al-Munziri dalam bab al-Tarhib fi Katmi al-'Ilm (Celaan Terhadap Menyembunyikan Ilmu) dan al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Majma' al-Zawaidada merakamkan daripada 'Alqamah ibnu Saad ibnu Abd Rahman ibnu Abza daripada ayahandanya daripada datuknya dari Abd. Rahman ibnu Abza r.a telah berkata, Rasulullah SAW telah berkhutbah pada satu hari. Baginda memuji Allah SWT dan berdoa serta menyebutkan tentang sekumpulan orang Islam dan mendoakan kebaikan ke atas mereka, lalu bersabda, "Alangkah malangnya kaum yang tidak memahamkan dan mengajarkan agama kepada jiran-jiran mereka serta tidak mencerdikkan mereka terhadap agama dan tidak pula menyuruh mereka membuat kebaikan dan melarang membuat keburukan."

Oleh itu, apabila kita yang merupakan seorang yang berilmu tetapi tidak melaksanakan peranannya mendidik dan seorang yang kurang pandai tetapi tidak menunaikan tugasnya untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka wajib kedua pihak ini mendapat hukuman denda terhadap kecuaian mereka.

Malah, umum mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah mewajibkan menuntut ilmu dalam sabdanya yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan." Daripada pengertian hadis ini, dapat kita faham bahawa Nabi SAW mengkaitkan kefarduan menuntut ilmu dengan sifat Islam seseorang sebagai peringatan bahawa sesiapa yang menisbahkan dirinya sebagai seorang Islam, maka telah menjadi kewajipan padanya untuk menuntut ilmu dan menjauhi kejahilan. Rasulullah SAW juga memperingatkan umatnya supaya mempelajari ilmu yang bermanfaat serta berwaspada daripada ilmu yang tidak bermanfaat.

            Hakikatnya, masih banyak lagi hadis-hadis Baginda yang menegaskan akan kepentingan ilmu dalam dakwah ini. Kita tidak perlu mengeluarkan tenaga sehabis keringat bak di dalam peperangan, membelanjakan wang untuk meneruskan perjuangan Baginda. Cukuplah dengan mempelajari ilmu yang bermanfaat sebaik mungkin, berakhlak dengan akhlak Baginda dan mengamalkan ilmu tersebut untuk kebaikan umat seluruhnya. 


01 April 2012

Hasil Karya Pertandingan Penulisan Kreatif -The Series


 Sahabat-sahabat masih ingat lagi betapa meriahnya sambutan Maulidur Rasul kita tempoh hari? =) Alhamdulillah, jelas terpancar semangat cintakan Rasulullah dari ramai pelajar,  sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sambutan tersebut. Tapi takkanlah terhenti setakat itu saja...

Di sini, kami akan mempersembahkan hasil - hasil karya semua peserta yang memasuki Pertandingan Penulisan Kreatif, secara berkala untuk menyuburkan lagi cinta kepada Kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w. Semua karya mantap-mantap belaka, menyebabkan kesukaran dari pihak para juri untuk memilih pemenangnya.. Akhirnya karya inilah yang dinobat sebagai pemenang utama. Tahniah kepada saudari Syamimah! Tahniah juga kepada semua yang turut serta.. Moga dengan hasil karya anda, benih-benih cinta kepada Rasulullah tersebar meluas dan mekar dalam hati - hati para pembaca.. insyaAllah.



Jangan lupa selawat ke atas nabi ya! :)

BERBEZANYA AKHLAK RASULULLAH SAW

Oleh: Syamimah Binti Ismail  (Posting PHPM A & E)

Kehidupan sebagai ‘medical student’ begitu menguji keimanan dan kesabaran. Seringkali diriku tewas. Dengan ‘assignment’ yang menimbun, seminar, ‘case presentation’, ‘case write-up’, membuatkan diriku sukar untuk membahagi masa dengan baik. Namun, dalam masa yang sama, aku suka melihat dan mengkaji personaliti manusia. Setiap orang mempunyai personaliti masing-masing. Ada yang menunjukkan sikap cepat mengeluh, cepat marah, sedih, dan lain-lain sikap tidak kiralah negatif mahupun positif ketika menghadapi sesuatu masalah.

Semasa berada di hospital, aku berpeluang melihat karakter sesetengah doktor pakar dan ‘Medical Officer’ yang  berada dalam keadaan yang sungguh tertekan ketika menghadapi sesuatu masalah. Jururawat yang sangat ayu pun jadi tak ayu dalam keadaan tersebut.

Dalam keadaan stress, saat itulah kita mengenal diri sendiri. Akhlak kita yang sebenar-benarnya terlahir dalam keadaan stress. Kita kenal sahabat-sahabat kita dengan sebenarnya juga dalam suasana yang penuh tekanan kan?

Tapi berbeza dengan akhlak Rasulullah SAW. Sebagai contohnya dalam peristiwa Perang Khandak, di mana kaum Quraisy ingin menumpaskan kesemua kaum Muslimin. Mereka menubuhkan satu pasukan perang yang besar iaitu seramai 10,000 orang  jika dibandingkan dengan jumlah tentera Islam pada ketika itu yang hanya seramai 3,000 orang.

Dalam keadaan yang ‘super-duper’ stress itu pun, para sahabat dapat melihat akhlak Rasulullah SAW yang sangat hebat. Rasulullah SAW berjaya maintain malah akhlaknya lebih sempurna dalam keadaan yang sangat cemas. Keadaan tersebut bukan perihal menyelamatkan nyawa di hospital, tapi suasana menyelamatkan Islam. Bilangan musuh ketika itu boleh menghancurkan umat islam sehabisnya... Bayangkan...

Rasulullah s.a.w. keluar menggali parit pertahanan bersama-sama kaum Muslimin. Dalam masa yang sama, Rasulullah SAW turut menyanyikan sajak bersama mereka dengan suara yang tinggi semasa bekerja. Mereka menyanyikan sajak-sajak yang bersahaja yang digubah dari kejadian-kejadian yang berlaku. Misalnya ketika itu ada seorang Islam bernama Ju’ayl. Rasulullah SAW tidak sukakan nama ini, lalu mengubahkannya kepada nama ‘Amr. Lalu orang-orang Muslimin yang berkerja menggali parit itu mendendangkan beramai-ramai sebuah sajak mengenainya yang bersahaja:

Samma min ba’di Ju’ayl amran ... amran, wa kana lil baisi zahran.... zahran...
 
Beliau menukar namanya
Dari Juayl kepada Amr
Setiap hari ada sahaja
Beliau menolong si malang derita

    Apabila mereka mendendangkan kata-kata “Amr”, Rasulullah SAW turut meningkah “Amran”. Begitu juga apabila mereka mendendangkan kata-kata “Zah” beliau turut meningkah “Zahran”. Di sini dapatlah kita gambarkan betapa mesranya suasana ketika itu, di mana kaum Muslimin bekerja keras (menggali parit) dan Rasulullah SAW turut serta memotong dengan kapak, menyodok tanah dengan penyodok-penyodok, mengangkut tanah dengan keranjang-keranjang dan menyanyikan sajak ini bersama-sama mereka.

    Terkadang aku membayangkan dalam kehidupanku, andai Rasulullah SAW bersamaku, bagaimana agaknya Rasulullah SAW seandainya dia seorang doktor pakar/ MO/ murabbi?
Aku terlalu merinduimu, ya Rasulullah... Terbayang bagaimana Rasulullah SAW juga menggali parit ... Terbayang mereka menyanyikan sajak bersama-sama..

    Ketika peperangan ini juga, cuaca agak dingin dan bekalan makanan tidak mencukupi sehingga Abu Talhah mengatakan: “Kami mengadu kebuluran itu kepada Rasulullah SAW dan kami tunjukkan batu demi batu yang diikat diperut kami lalu nabi juga menunjukkan dua ketul batu diperutnya”. Tujuan diikat batu ini menurut setengah ulama’ adalah bagi menegakkan tulang belakang yang boleh menahan lapar. Di sini kita dapat lihat bagaimana Rasullulah SAW sebagai pemimpin turut bersama merasai susah dalam menyiapkan parit bagi menghadapi musuh.

    Ini memberi pengajaran kepada kita bagaimana dalam keadaan susah mahupun senang, adalah menjadi tanggung jawab bersama. Dan bukannya bila ada masalah pemimpin duduk bersenang-lenang dan hanya orang bawahan sahaja yang menanggung kesusahan tersebut.  

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:
“Sesungguhnya pada akhlak Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.   (Surah Al-Ahzab: Ayat 21)

    Sepertimana dalam ayat di atas, bukankah baginda kita akui sebagai role model dalam kehidupan? Jadi mengapa kita tidak belajar dari Rasulullah SAW untuk melakukan perubahan?


PS; Nantikan karya yang seterusnya minggu depan!