20 January 2012

Pengkelasan Luar Sedar dan Trend Baru Hidup

Pengkelasan masyarakat kepada kelas-kelas dan kasta-kasta nya yang tersendiri, tidak berlaku pada keadaan yang jelas sepertimana pengkastaan tradisional yang berlaku pada zaman dahulu.

Dahulunya, pada zaman Firaun dan raja-raja lain yang sama sifat dan perangainya, pengkastaan adalah jelas dan dapat dilihat dengan mata kasar. Di situ adanya golongan bangsawan, adanya golongan pendeta, petani, dan yang terbawah ialah hamba dan buruh-buruh binaan.

Akan tetapi, zaman ini, pengkastaan ini wujud kembali, dan kita dikastakan dalam keadaan tidak kita menyedarinya. Kita disisihkan dalam arus pengagihan kekayaan dunia dalam keadaan kita tidak sedar.

Apakah yang menyebabkan berlakunya pengkastaan luar sedar ini? Mengapakah ia dirancang untuk berlaku? Siapa yang merancang?

Begini.

Manusia menyedari bahawa kekayaan dunia ini adalah terlalu banyak . Segala lohong, segala inci, dan setiap ruang yang wujud di alam ini mempunyai kekayaannya sendiri.

Sama ada ianya diambil dengan berhemah dan cermat, atau dengan penuh rakus serta merosakkan, adalah perkara penting yang akan kita bincangkan di lain tulisan. Akan tetapi, pokoknya begitulah cara kapitalis memandang sesuatu perkara.

Duit di mana-mana. Agama pun adalah jalan membuat duit. Pendeknya, harta dunia ini terlalu banyak!

Walaupun ia terlalu banyak, manusia mahukan ia hanya untuk dirinya sahaja.

Namun, mustahil untuk mengangkut harta yang berkoyan - koyan itu secara individu, memandangkan keupayaan insan yang terbatas.

Kecualila kalau harta itu dalam bentuk cincin berjuta yang boleh dibawa seorang. Yang itu memang boleh diangkut secara berseorangan, dengan syarat jari yang menyarung itu muat dengan cincin.

Lalu manusia mula belajar untuk bekerjasama dalam memunggah kekayaan yang banyak itu.

Akan tetapi, manusia  jarang belajar, atau sengaja malas mahu belajar, bahawa untuk mengagihkan kekayaan itu, juga memerlukan kerjasama.

Manusia walaupun boleh bersama untuk memungut harta, namun tidak pernah mahu bersama dalam menikmati  harta.

Apabila itu berlaku, maka timbullah apa yang dikatakan sebagai eksploitasi. Yang bekerja memungut segala kekayaan itu ramai, namun yang menikmatinya hanya sedikit.

Tambah melampau, golongan yang ramai itu berusah payah bermandi peluh dan keringat, sedang golongan yang sedikit itu kerjanya hanya menjadi orang tengah. Mungkin akan ada yang berhujah mengatakan bahawa pihak yang sedikit itu lebih berat kerjanya kerana terpakasa menggunakan otak dan fikiran untuk strategi perniagaan.

Jawapan kepada hujah seperti ini akan saya jelaskan di lain hari. Adapun bagi sesiapa yang pernah menelaah teori Darwinisme dan pengamalannya dalam sistem sekarang, sudah tentu akan dapat menjawab hujah seperti ini. Apa yang jelas, mereka yang menghalalkan tindakan eksploitasi dengan hujjah bahawa akal mereka lebih bijak, dan  mereka yang diekploitasi lemah akalnya, adalah golongan yang berasul dan bernabikan Darwin.

Dengan mengeksploitasi, ada pihak yang digunakan, dan ada pihak yang dipergunakan. Selalunya, pihak yang digunakan tidak akan mengetahui bahawa mereka telah pun dipergunakan. Tidaklah mereka menyedari bahawa mereka telah dijadikan alat oleh pihak pengeksploitasi.

Yang menyebabkan berlakunya keadaan sedemikian adalah kerana pengeksploitasi telah meletakkan satu konsep yang akhirnya telah diimani oleh pekerja (baca: alat) mereka iatu konsep bergantung harap. Para pekerja ini telah ditanamkan bahawa mereka memerlukan bos mereka, bukan bos  memerlukan pekerja. Lebih-lebih lagi di zaman sukarnya untuk mendapat pekerjaan.

Akhirnya, dari situlah munculnya pengkastaan. Kasta wujud kerana adanya pihak yang bergantung dan adanya pihak yang menjadi tempat bergantung. Kasta bawah memerlukan kasta di atas.

Pewujudan kasta bukanlah kerana kemuliaan keturunan darah diraja atau sebagainya. Semua cerita mengatakan darah si polan lebih mulia dari si polan, atau keturunan dia berasal  dari Nabi Muhammad SAW dan sebagainya hanyalah aji no moto penambah perasa pada hakikat yang sebenarnya. Semua itu hanyalah untuk memberi kerasionalan.  

Hakikat yang sebenarnya ialah kebergantungan ekonomi antara satu pihak kepada pihak yang lainlah yang menyebabkan kewujudan kasta ini.

Begitulah apa yang berlaku. Kaum pekerja misalnya, memerlukan tauke-tauke  untuk mengambil mereka bekerja. Tauke memerlukan yang berhormat dan datuk seri untuk memberi mereka kontrak. Datuk seri memerlukan golongan diraja untuk menjamin harta mereka. Siapa melawan nanti termakan tulah.

Dari situ sudah jelas faktor kewujudan kasta-kasta itu terjadi adalah kerana pergantungan ekonomi antara satu lapis dengan lapis yang lain. Yang bawah mengharapkan yang atas. Benda ini akan berterusan kerana pihak pada lapis atas itu mempunyai kekuatan ekonomi, untuk kalaupun tidak dapat menutup mulut golongan-golongan penentang dari kelas bawahan yang mulai sedar mereka telah dieksploitasi, sekurang-kurangnya dapat menghalang mereka dari berdemo atau melancarkan pemberontakan bagi menuntut penagihan harta alam yang lebih adil dan saksama. Setakat mereka marah-marah manja itu tidak mengapalah, boleh diibiarkan. Diberi gaji nanti senyaplah sekejap, kemudian bising kembali (selepas wang habis membayar semua hutang bank), kemudian senyap balik selepas mendapat gaji seterusnya.

Kalaulah dilihat pada suasana sekeliling kita, dapatlah kita ketemu dengan jelas bukti-bukti yang menunjukkan adanya kewujudan kasta yang menyusun masyarakat. 

Dalam masyarakat yang mengamalkan kasta, kasta yang di bawah akan sentiasa di kawal oleh lapisan kasta yang di atas. Jadi sering kali hak yang di bawah tertindas semata-mata untuk menjaga kepentingan hak yang di atas.

Akan tetapi, kebanyakan kita tidak menyedarinya dan masih lagi berbangga mengatakan yang setiap rakyat yang hidup di negara ini mempunyai hak yang sama rata.

Apabila ditanyakan apakah yang menyebabkan mereka gembira mengatakan yang mereka punyai hak yang sama sahaja antara setiap rakyat, maka jawapan mereka ialah kerana negara ini mengamalkan demokrasi, dan dalam demokrasi, suara setiap rakyat adalah suara yang menetukan arah tuju negara.

Melalui cara apa rakyat dapat mengemudi negara?

Dengan peti undi, kata Pak Jali yang duduk di ceruk Felda Kota Tinggi sambil minum teh o kosong (kerana gula naik harga) di warung. Gembiranya dia kerana merasakan yang dia sangat bertuah dapat hidup dalam negara yang memberikan peluang untuk rakyat menentukan hala tuju negara.

Persoalannya, benarkah begitu? Ataupun hakikat sebenarnya ialah kita, rakyat biasa, tidak berpeluang dalam menentukan hala tuju negara, hatta hala tuju kita sendiri?

Sebenarnya tidak lain,  melainkan perkara hala tuju negara ini hanya dikawal golongan tertentu sahaja. Siapa golongan itu?  Meraka ialah  golongan minoriti yang memiliki majoriti harta. Mereka inilah sebenarnya yang menetukan hala tuju negara mengikut kemudi ketamakan mereka. Mereka ini yang mnegawal segala sumber-sumber yang ada.

Sehinggalah sampai ke satu tahap di mana dalam pengagihan keperluan asas seperti makanan dan sebagainya tidak dibahagikanmengikut keperluan, akan tetapi mengikut kemampuan.

Inilah kesilapan sistem pengagihan yang berlaku sekarang ini, yang menyebabkan adanya golongan yang mampu sahaja yang memperoleh keperluan-keperluan tersebut, walaupun hakikatnya mereka sudah memiliki lebih dari yang mencukupi.

Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya di jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (bahwa mereka akan mendapat) siksa yang pedih. Pada hari dipanaskan emas dan perak itu dalam neraka Jahannam, lalu disetrika (dibakar) dengannya dahi, lambung, dan punggung mereka. (Dikatakan kepada mereka), “Inilah harta bendamu yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) harta yang kamu simpan itu (At Taubah 34-35)


Maka jadilah golongan yang memerlukan, tetapi tidak mampu, terpaksa bergantung kepada golongan-golongan yang tidak memerlukan tetapi mampu  ini. Dari situlah wujudnya kasta.

Bilamana adanya pergantungan satu hala kepada pihak lain, maka di situ sudah wujudnya pengkastaan, dan kehilangan hak untuk menetukan hala tuju sendiri. Pada hakikatnya, ia sebenarnya bukanlah pergantungan satu hala, kerana mereka yang di atas sangat-sangat memerlukan lapisan bawah untuk menyokong mereka, kalau tidak mereka akan rebah macam Penjara Pudu. Akan tetapi  ianya telah menjadi satu hala apabila golongan bawah tidak menyedari bahawa golongan atasan,atau  Mustakbirin, turut bergantung pada mereka. Etiadaan kesedaran inilah yang terus mengikat dan memasung mereka dalam perhambaan ini.

Tiada nya semangat keberanian untuk berjuang dan bersatu, menyebabkan mereka berjaya dijinak dan dimandulkan seterusnya akan terus menerus duduk di bawah pengkastaan luar sedar ini dari generasi ke generasi.

Menjadilah mereka bagai sebuah generator yang dieksploit habis-habisan tenaganya untuk menerangi golongan-golongan di atas, sedang mereka sendiri semakin lama lebur berada di bawah.

Apa yang ingin saya bawakan ini hanyalah sekadar satu perbincangan untuk para pembaca melihat kembali ke dalam salah satu punca yang menyebabkan berlakunya bermacam-macam masalah kepada kehidupan masyarakat mutakhir ini. Kalau pada zaman feudal, agama telah digunakan untuk mengkelaskan masyarakat, maka pada zaman ini, materialistik telah menjadi tunjang kepada pengkelasan yang berlaku. Cumanya, tiang materialistik itu disalut dan dicat dengan tiang agama (yang disalahtafsir), untuk merasionalkan tindakan zalim mustakbirin ke atas mustadh'ifin.

Kalau masyarakat tidak dapat disedarkan tentang apa yang berlaku, maka jurang perbezaan ini akan bertambah besar, dan lama kelamaan kita akan menjadi hamba yang total kepada kelompok-kelompok bernafsu besar yang suka mengeksploit manusia lain untuk kemakmuran diri sendiri. Sekarang ini pun negara kita adalah antara negara yang mempunyai jurang kaya dan miskin yang terbesar di Asia Tenggara.

Pengkastaan ini harus dihentikan segera. Anak-anak muda yang fikiran dan fikrah mereka masih suci dan berani, harus menghancur leburkan susun lapis ala zaman feudal ini, supaya manusia tidak lagi menjadi hamba kepada sesama manusia.

 Mereka harus membawa budaya baru iatu budaya 'Hidup Sekadar Cukup'. Dengan mewujudkan budaya baru ini, maka pengkelasan akan terhapus kerana adanya pengagihan sumber yang adil. Gagasannya jelas, iatu:  sumber diagihkan mengikut keperluan, bukan kemampuan.

Akan tetapi, kita lihat bagaimana ramai anak muda telah dipengaruhi, terutamanya oleh media. Penonjolan hidup yang berprestij dan konon romantik, macho, serta stylo yang mahal-mahal, menyebabkan mereka ini menjadi 'pelombong-pelombong' dan pengutip biji-biji kemewahan yang berterabur. Mata mereka bulat pada kilat kereta mahal, dan hati mereka dup dap dup dap pada majlis-majlis parti besar-besaran. Itulah yang mereka kejar dan itulah yang menjadi matlamat hidup mereka. Maka mereka secara tidak langsung telah ditelan sama dalam sistem busuk dan bobrok ini. Jadi, mereformasikan media juga harus dilakukan untuk mengubah persepsi anak muda terhadap hidup ini seterusnya membentuk fikiran mereka untuk mengamalkan trend  'Hidup Sekadar Cukup'.



show_faces='false'/>

0 Comments:

Post a Comment