21 May 2012

Penulisan Kreatif: Indahnya dirimu Ya Rasulullah

Indahnya dirimu Ya Rasulullah


Seperti biasa, kelas bermula seawal jam 8 pagi. Bermandikan hujan yang membasahi bumi sejak malam tadi, aku orang yang pertama tiba mengalahi teman yang lain. Di tanganku masih erat memegang sehelai kertas yang hampir lunyai dek terkena hujan. Meniti di mataku sejenak, ‘Program Maulidur Rasul’ anjuran Exco Modal Insan. Lalu di hati mula terdetik, “Ya Allah, hampir terlupa aku akan tarikh keramat kelahiran seorang bayi yang telah membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban dunia ini!” Ya, Muhammad nama diberi. Suatu nama yang belum pernah ada sebelumnya. Kelahirannya pada tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 20 April tahun 571 M.

Masih terngiang-ngiang suara abah yang suka benar bercerita mengenai junjungan besar  Nabi Muhammad s.a.w, sejak diriku masih kecil lagi. “Siapa Muhammad?” diriku tidak mengerti. Kata abah, beliau adalah nabi terakhir kita, manusia teragung yang sangat dicintai Allah juga sahabat-sahabatnya. Beliau daripada keturunan Qushai, pahlawan suku Quraisy yang telah berhasil menggulingkan kekuasaan Khuza’ah atas kota Mekah. Ayahnya bernama Abdullah bin Abdul Mutalib manakala ibunya Aminah binti Wahab. Keduanya dari golongan bangsawan dan terhormat dalam kalangan kabilah Arab. Dalam perjalanan hidupnya dari kanak-kanak hingga dewasa dan sampai diangkat menjadi rasul, baginda terkenal sebagai seorang yang jujur, berbudi luhur dan mempunyai keperibadian yang tinggi. Kerana kejujurannya, baginda mendapat julukan ‘al-Amin’ yang bererti ‘dapat dipercayai.’ “Hebatnya Nabi Muhammad s.a.w, ana mahu jadi sepertinya!” kataku, masih kecil. Diri ini sebenarnya belum cukup mengerti tetapi jauh disudut hati, bersungguh-sungguh aku mengaguminya. Abah bangga denganku, dan pasti dalam doanya mengharapkan keperibadianku mencontohi idolaku ketika itu.

            Masa berlalu, dan aku semakin lupa, sibuk dan alpa dengan arus kemodenan, mengejar cita-cita untuk menjadi terbaik dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia. Sehingga aku hampir terlupa akan kisah junjungan kita. Lalu kuimbas kembali, puisi indah yang abang cipta, beralun merdu di corong radio IKIM.fm suatu tika itu:

Duhai pejuang agama, pewaris bangsa, pemacu negara
kenapa lemah dalam kepapaan?
kenapa lemas dalam kedangkalan?
kenapa gundah dalam kesepian?

Bukankah dia pemuda miskin?
mampu berdagang bak gemawan
saat juwita digelar al-amin
akhir memilik wanita hartawan
Kerana apa?
kerana dialah lelaki bijaksana..

Bukankah dia si ummi?
mampu mencoret tinta yang kering
buat mentafsir lembaran suci
kini menyuluh dunia sekeliling
Kerana apa?
kerana dialah lelaki bijaksana..

Bukankah dia anak yatim?
mampu menahan gulatan insan
dalam kemuliaan batu yang hitam
lalu memimpin umat pengakhiran
Kerana apa?
kerana dialah lelaki bijaksana..

Lalu bagaimana?
beralunlah sudah wirama sebuah kebijaksanaan


Indah bukan? Tetapi masih tidak seindah makna tersirat yang abang sampaikan. Katanya, puisi ni berhasrat untuk memberi motivasi dan semangat kepada masyarakat Islam. Kenapa kita seakan mudah kecewa dengan kemiskinan, kebodohan dan kesepian yang kita hadapi sedangkan Muhammad telah menunjukkan jalan untuk kita teladani?

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan(keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.  
(Al-Ahzab: 21)


“Belajarlah, ketahuilah dan selamilah sirah nabi yang satu ini, dan kau akan mengerti, betapa mulianya baginda tidak dapat ditandingi,” kata abang lagi.

Kisah-kisah nabi kuimbas kembali. Ya benar, Baginda hanya seorang anak miskin, piatu lagi. Hidupnya sendiri. Tiada kasih sayang ibu bapa seperti kita ini. Namun Baginda sangat rajin bekerja. Tidak kenal erti putus asa. Berdagang ke Syam dan merata dunia, dengan penuh amanah baginda melangkah jua. Walaupun sendiri, baginda mampu hidup bermasyarakat dengan penuh harmoni. Dihormati dan disanjungi. Ada suatu ketika baginda berjaya menyelesaikan masalah puak yang berebut untuk meletakkan semula hajaratul aswad ke Kaabah. Lalu baginda diangkat bukan saja sebagai pemimpin masyarakat, malah pemimpin manusia seluruhnya oleh Yang Maha Esa. Malahan Baginda juga tidak tahu membaca, tetapi dengan kesedaran dan kematangan, baginda menuju ke gua sendirian mencari jalan penyelesaian masalah umat. Akhirnya turun malaikat mengajarnya membaca Iqra’ dan berterusan wahyu al-Quran diturunkan bagi menerangi dan menunjuk jalan buat manusia sepanjang zaman. Hanya dengan beberapa kisah ini, sudah  banyak pengajaran dan panduan yang boleh dicontohi. Di mana kekuatan Muhammad sebenarnya? Di samping akhlak yang terpuji, baginda juga punyai kebijkasanaan pemikiran yang amat hebat. Inilah si bijaksana, tokoh agung yang sewajarnya kita ikuti!

’Dulu, kini dan selamanya’. Terlintas di fikiran slogan yang sinonim pada masa ini. Namun, alangkah indahnya jika slogan ini dikaitkan dengan nabi junjungan kita. 
”Dulu, kini dan selamanya kami menyanjungimu Ya Rasulullah!’ timbul lagi persoalan dibenakku. 
”Aarghh, seharusnya perkara ini memang perlu difikirkan, dihayati dan dipraktikkan demi cintaku pada Rasulullah,” hati bermonolog lagi.
Tetapi bagaimana? Baginda mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang tajam, semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran yang seharusnya dicontohi. Bangkitlah, wahai pejuang-pejuang Islam! Bangun dan binalah kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah.  Sebarkan Islam. Berdakwahlah sebagaimana Rasulullah, itulah peranan kita unutk mempertahankan agama Allah.
“Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan setengahnya mereka menjadi pembantu kepada setengah yang lain, mereka bersama-sama menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.”  (At-Taubah: 71)

Kita seharusnya beriman kepada Rasulullah, tunduk dan patuh kepada apa yang dibawanya dan menjauhi apa yang dilarangnya tanpa merasa tertekan, segan, berat atau susah. Usah ragu, jangan membantah. Sesungguhnya keimanan kepada baginda menuntut kita taat, patuh dan mencontohi contoh teladannya yang mulia. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:  


“Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat.” 
(Ali ‘Imran: 132)

Sudah pasti, jalan untuk mencintai Allah s.w.t antaranya adalah dengan mentaati Rasulullah dengan patuh dan seikhlas hati. Cintailah Rasulullah  lebih daripada diri sendiri, anak-anak, harta benda dan manusia seluruhnya. Sukar bukan? Tetapi tiada yang mustahil. Kita dilahirkan Islam, punya iman dalam diri. Mujahadahlah wahai hati!

Sapaan seorang teman bertanyakan tentang jadual kelas membuatkan omonganku terhenti. Aku masih mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua yang diberi, dan di saat ini juga aku mula berjanji untuk memastikan tanggungjawabku yang sejak sekian dahulunya lagi akan dipenuhi, demi cintaku pada Allah, juga kasihnya aku pada Rasullullah saw. InsyaAllah.






show_faces='false'/>

0 Comments:

Post a Comment