21 May 2012

Penulisan Kreatif: Indahnya dirimu Ya Rasulullah

Indahnya dirimu Ya Rasulullah


Seperti biasa, kelas bermula seawal jam 8 pagi. Bermandikan hujan yang membasahi bumi sejak malam tadi, aku orang yang pertama tiba mengalahi teman yang lain. Di tanganku masih erat memegang sehelai kertas yang hampir lunyai dek terkena hujan. Meniti di mataku sejenak, ‘Program Maulidur Rasul’ anjuran Exco Modal Insan. Lalu di hati mula terdetik, “Ya Allah, hampir terlupa aku akan tarikh keramat kelahiran seorang bayi yang telah membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban dunia ini!” Ya, Muhammad nama diberi. Suatu nama yang belum pernah ada sebelumnya. Kelahirannya pada tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah bersamaan 20 April tahun 571 M.

Masih terngiang-ngiang suara abah yang suka benar bercerita mengenai junjungan besar  Nabi Muhammad s.a.w, sejak diriku masih kecil lagi. “Siapa Muhammad?” diriku tidak mengerti. Kata abah, beliau adalah nabi terakhir kita, manusia teragung yang sangat dicintai Allah juga sahabat-sahabatnya. Beliau daripada keturunan Qushai, pahlawan suku Quraisy yang telah berhasil menggulingkan kekuasaan Khuza’ah atas kota Mekah. Ayahnya bernama Abdullah bin Abdul Mutalib manakala ibunya Aminah binti Wahab. Keduanya dari golongan bangsawan dan terhormat dalam kalangan kabilah Arab. Dalam perjalanan hidupnya dari kanak-kanak hingga dewasa dan sampai diangkat menjadi rasul, baginda terkenal sebagai seorang yang jujur, berbudi luhur dan mempunyai keperibadian yang tinggi. Kerana kejujurannya, baginda mendapat julukan ‘al-Amin’ yang bererti ‘dapat dipercayai.’ “Hebatnya Nabi Muhammad s.a.w, ana mahu jadi sepertinya!” kataku, masih kecil. Diri ini sebenarnya belum cukup mengerti tetapi jauh disudut hati, bersungguh-sungguh aku mengaguminya. Abah bangga denganku, dan pasti dalam doanya mengharapkan keperibadianku mencontohi idolaku ketika itu.

            Masa berlalu, dan aku semakin lupa, sibuk dan alpa dengan arus kemodenan, mengejar cita-cita untuk menjadi terbaik dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia. Sehingga aku hampir terlupa akan kisah junjungan kita. Lalu kuimbas kembali, puisi indah yang abang cipta, beralun merdu di corong radio IKIM.fm suatu tika itu:

Duhai pejuang agama, pewaris bangsa, pemacu negara
kenapa lemah dalam kepapaan?
kenapa lemas dalam kedangkalan?
kenapa gundah dalam kesepian?

Bukankah dia pemuda miskin?
mampu berdagang bak gemawan
saat juwita digelar al-amin
akhir memilik wanita hartawan
Kerana apa?
kerana dialah lelaki bijaksana..

Bukankah dia si ummi?
mampu mencoret tinta yang kering
buat mentafsir lembaran suci
kini menyuluh dunia sekeliling
Kerana apa?
kerana dialah lelaki bijaksana..

Bukankah dia anak yatim?
mampu menahan gulatan insan
dalam kemuliaan batu yang hitam
lalu memimpin umat pengakhiran
Kerana apa?
kerana dialah lelaki bijaksana..

Lalu bagaimana?
beralunlah sudah wirama sebuah kebijaksanaan


Indah bukan? Tetapi masih tidak seindah makna tersirat yang abang sampaikan. Katanya, puisi ni berhasrat untuk memberi motivasi dan semangat kepada masyarakat Islam. Kenapa kita seakan mudah kecewa dengan kemiskinan, kebodohan dan kesepian yang kita hadapi sedangkan Muhammad telah menunjukkan jalan untuk kita teladani?

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan(keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.  
(Al-Ahzab: 21)


“Belajarlah, ketahuilah dan selamilah sirah nabi yang satu ini, dan kau akan mengerti, betapa mulianya baginda tidak dapat ditandingi,” kata abang lagi.

Kisah-kisah nabi kuimbas kembali. Ya benar, Baginda hanya seorang anak miskin, piatu lagi. Hidupnya sendiri. Tiada kasih sayang ibu bapa seperti kita ini. Namun Baginda sangat rajin bekerja. Tidak kenal erti putus asa. Berdagang ke Syam dan merata dunia, dengan penuh amanah baginda melangkah jua. Walaupun sendiri, baginda mampu hidup bermasyarakat dengan penuh harmoni. Dihormati dan disanjungi. Ada suatu ketika baginda berjaya menyelesaikan masalah puak yang berebut untuk meletakkan semula hajaratul aswad ke Kaabah. Lalu baginda diangkat bukan saja sebagai pemimpin masyarakat, malah pemimpin manusia seluruhnya oleh Yang Maha Esa. Malahan Baginda juga tidak tahu membaca, tetapi dengan kesedaran dan kematangan, baginda menuju ke gua sendirian mencari jalan penyelesaian masalah umat. Akhirnya turun malaikat mengajarnya membaca Iqra’ dan berterusan wahyu al-Quran diturunkan bagi menerangi dan menunjuk jalan buat manusia sepanjang zaman. Hanya dengan beberapa kisah ini, sudah  banyak pengajaran dan panduan yang boleh dicontohi. Di mana kekuatan Muhammad sebenarnya? Di samping akhlak yang terpuji, baginda juga punyai kebijkasanaan pemikiran yang amat hebat. Inilah si bijaksana, tokoh agung yang sewajarnya kita ikuti!

’Dulu, kini dan selamanya’. Terlintas di fikiran slogan yang sinonim pada masa ini. Namun, alangkah indahnya jika slogan ini dikaitkan dengan nabi junjungan kita. 
”Dulu, kini dan selamanya kami menyanjungimu Ya Rasulullah!’ timbul lagi persoalan dibenakku. 
”Aarghh, seharusnya perkara ini memang perlu difikirkan, dihayati dan dipraktikkan demi cintaku pada Rasulullah,” hati bermonolog lagi.
Tetapi bagaimana? Baginda mempunyai pandangan yang jauh, akal fikiran yang tajam, semangat juang yang tinggi, kekuatan mental dan rohani serta tabah dan berani dalam menempuh pelbagai cabaran yang seharusnya dicontohi. Bangkitlah, wahai pejuang-pejuang Islam! Bangun dan binalah kekuatan rohani seimbang dengan kekuatan mental dan jasmani seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah.  Sebarkan Islam. Berdakwahlah sebagaimana Rasulullah, itulah peranan kita unutk mempertahankan agama Allah.
“Orang-orang mukmin lelaki dan orang-orang mukmin perempuan setengahnya mereka menjadi pembantu kepada setengah yang lain, mereka bersama-sama menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada kemungkaran.”  (At-Taubah: 71)

Kita seharusnya beriman kepada Rasulullah, tunduk dan patuh kepada apa yang dibawanya dan menjauhi apa yang dilarangnya tanpa merasa tertekan, segan, berat atau susah. Usah ragu, jangan membantah. Sesungguhnya keimanan kepada baginda menuntut kita taat, patuh dan mencontohi contoh teladannya yang mulia. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:  


“Dan taatilah Allah dan Rasul agar kamu diberi rahmat.” 
(Ali ‘Imran: 132)

Sudah pasti, jalan untuk mencintai Allah s.w.t antaranya adalah dengan mentaati Rasulullah dengan patuh dan seikhlas hati. Cintailah Rasulullah  lebih daripada diri sendiri, anak-anak, harta benda dan manusia seluruhnya. Sukar bukan? Tetapi tiada yang mustahil. Kita dilahirkan Islam, punya iman dalam diri. Mujahadahlah wahai hati!

Sapaan seorang teman bertanyakan tentang jadual kelas membuatkan omonganku terhenti. Aku masih mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua yang diberi, dan di saat ini juga aku mula berjanji untuk memastikan tanggungjawabku yang sejak sekian dahulunya lagi akan dipenuhi, demi cintaku pada Allah, juga kasihnya aku pada Rasullullah saw. InsyaAllah.






06 May 2012

Penulisan Kreatif: Cinta manusia yang agung

            Sebagai kata pendahuluan kepada pembaca, ingin sekali saya mengatakan betapa bodoh dan hinanya diri ini untuk membicarakan tatang keperibadian Rasulullah, rasul terakhir, manusia kekasih Allah..
         “Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba mu ini kiranya kami jahil dan hina dalam menghayati segala kisah hidup kekasihmu”

                                         Cinta manusia yang agung

"Patient collapse, Doktor..Doktor!!"
       "Patient collapse, patient collapse! Doktor...doktor!” jerit seorang nurse yang berada di cubicle belakang.
       
          Dengan serta merta keadaan di ward surgery menjadi kelam kabut seketika. Ward round yang tenang tadi kini lesap. Semua surgeon mahupun pelajar perubatan UiTM yang memenuhi round pada pagi itu berlarian ke arah suara nyaring jeritan nurse tadi. 

Waktu berjalan begitu pantas, pergerakan nurse-nurse dan doktor begitu cepat, saling bekerjasama.

Aku yang menyelit di antara kesesakan perkumpulan itu, menyaksikan segalanya. Yang paling terkejut ialah pesakit yang di maksudkan itu ialah seorang kakak yang aku pernah sembang dengannya. Dia seorang yang rajin memberi nasihat. Tak lekang juga senyuman dari bibir moleknya. Kini dia terkulai, lemah...dia di ‘intubate’, dadanya disentap, tapi akhirnya, dia...dia.....dia dah pergi.........

Petang itu, terasa lain, sangat lain. Hati ku rasa sesuatu yang aneh, sesuatu yang hilang. Bungkusan buah yang aku bawa dipeluk  erat. Bungkusan ini sepatutnya aku beri kepada kakak tadi. Dia banyak membantu aku. Dia mengajar aku sesuatu yang sangat bererti.Teringat lagi aku akan kakak itu. Bagai semalam aku berjumpa dengannya.
...............................................................................................................................................................

“Adik doktor, adik buat apa tu?” tanya seorang gadis yang memakai baju serba hijau. Badan dia kelihatan besar, pergerakannya agak terganggu dengan keadaan tubuhnya.

“ Owh, akak ke, akak dari bed 30 kan?....” balasku yang tidak menjawab soalannya. Sebentar tadi, lamunan ku terganggu dengan tegurannya. Aku jika boleh tidak mahu diganggu. Hati ini terasa pedih, sedih semalam belum hilang sepenuhnya. Mahu taknya, kekasih sendiri dikebas orang. Malang tak berbau, semua pelan dirancang, dari wang simpanan hingga ke tarikh meminang dah pun disetujui dua pihak, tapi sekarang semuanya hanya tinggal rancangan.....Argh hidup ni tak adil!

“Kenapa ni? Nampak sedih je, sakit ke? Adik kalau nak jadi doktor tak boleh sakit tau?” Terus saja dia bertanya. Jelas dia pun tidak puas dengan jawapan ku. Makin ligat dia mengorek rahsiaku. Maklumlah di bilik TV itu hanya tinggal kami berdua saja.

“Hurmm...,” balasku sambil senyum
“Erm.. tapi kan dalam banyak-banyak sakit ada satu je yang doktor pun boleh sakit.” Dia sambung..
“Apa tu?” Kali ini kakak itu berjaya menarik perhatianku...
“ Sakit hati!...macam kecewa, sedih,..bila putus cinta” jawab kakak itu. Kali ini nadanya lebih serious, sambil melemparkan pandangan simpati kepadaku
“Akak, saya...” ayatku terputus di situ..ingin sekali aku tanya bagaimana dia dapat baca isi hati ini. Sebak serta merta terasa di hati, tapi ditahan saja mata dari berair. Pandanganku ditunduk serapat yang boleh. Ingin ku jaga air muka jantanku.
“Adik tak perlu cakap, akak faham sangat....Adik pernah tak dengar kisah cinta dari Allah? Adik nak dengar tak?” Aku hanya mampu mengganggukkan kepala ku.

“Sebenarnya, cinta manusia yang paling hebat adalah cinta Rasulullah kepada umatnya. Betapa hebatnya rasul kita adik!
Suatu pagi yang hening,Rasulullah memberi khutbah terakhirnya. Dengan suara yang terbatas, nabi memberi khutbahnya yang terakhir. Isi khutbahnya diselit dengan nasihat yang padat dan ringkas. Dinasihatkannya sekali lagi, bahawa baginda telah pun mewasiatkan Al-quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Betapa risaunya Rasul kepada umatnya, takut jika kita ni terbabas dengan arus kehidupan. Selesai sahaja memberi khutbah, rasulullah menatap satu persatu wajah  sahabatnya. Baginda mengamati wajah sahabat-sahabat dengan pandangan yang tenang. Abu Bakar membalas pandangan baginda dengan mata yang berkaca. Umar pula berombak-ombak dadanya menahan nafas dan tangisan. Ketika itu juga, Usman menghela nafas panjangnya dan Ali menundukan pandangannya serapat-rapat yang boleh. Di saat itu, para sahabat semuanya dapat merasai bahawa saatnya sudah tiba, Rasulullah, manusia mulia kesayangan semua akan pergi, pergi meninggalkan kita..
Ya Allah betapa besarnya jasa baginda! Betapa penyabarnya baginda menyempurnakan tugasnya,...satu tugas yang lamanya adalah satu hayat hidupnya. Selesai memberi khutbah, Rasulullah di pimpin Ali dan Fadhal akibat lemahnya badan rasulullah ketika itu. Setiap detik terasa seperti ingin ditahan, dibekukan supaya masa tidak berlalu.

Pada hari kewafatan, matahari sudah tinggi di kepala, tapi pintu Rasulullah masih tertutup rapat. Rasulullah terbaring. Pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya dibasahi dengan peluh nabi. Tiba-tiba rumahnya diberi salam. Fatimah ketika itu tidak mengizinkan orang yang tidak di kenalinya itu untuk masuk. “"Maafkanlah, ayahku sedang demam,” cakap Fatimah lalu dia menutup pintu. Rasulullah pun kemudiannya bertanya siapakah yang datang menjenguk rumah mereka ketika itu. Dan kata Fatimah, bahawa itulah kali pertama dia melihat orang itu.

Terus saja Rasulullah mengamati wajah anaknya dengan pandangan yang gelisah. Pandangan seolah-olah itulah kali terakhir wajah ini akan di tatap dan dikenang.Seketika kemudian rasul pun bersuara"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,"

Bayangkan, takkan ada anak yang sanggup mendengar kata-kata seperti itu yang diucapkan oleh bapa sendiri. Fatimah, terus  menahan tangisannya. Kemudian Rasulullah menjemput malaikat maut itu masuk ke dalam rumahnya. Rasulullah ketika itu tercari-cari Jibril yang akrab dengannya lalu bertanyakan tentang Jibril kepada malaikat maut. Jibril juga sebenarnya tidak sampai hati melihat manusia kekasih Allah itu dicabut nyawanya. Jibril kemudian dipanggil berada di sisi Rasulullah. Dengan suara yang lemah, Rasulullah bertanya kepada Jibril, tentang haknya di hadapan Allah. Jawab Jibril, bahawa segala persediaan sudah siap untuk menyambut baginda, pintu-pintu syurga terbuka luas untuk baginda. Jelas sekali itu bukan jawapan yang Rasulullah nantikan. Wajah nabi ketika itu kelihatan resah dan  cemas.

             Jibril hairan, dan dia pun bertanya; "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?”
Nabi sekali lagi bertanya; “Bagaimana nasib umatku kelak?”.......
Sugguh mulia, disaat menghadapi kematian, nabi kita boleh tanya tentang umat-umatnya..."

              Kisah tadi terhenti seketika. Sunyi menyelubungi kami. TV yang ditutup pada awal tadi menambahkan kesunyian. Bunyi derusan air-conditioner seolah-olah dapat di dengar jelas. Masalah aku tadi seolah-olah tidak pernah wujud, hilang entah ke mana. Entah kenapa aku terasa sebak di hati, lebih sebak dari kehilangan si dia.....Kelihatan wajah kakak seolah-olah mengelap pipinya yang kian merah...

“Adik, nabi sebelum meninggal, dia tak putus-putus menyebut Ummatii, ummattii, ummattii....adik , adik tak perlu risau kalau cinta adik di dunia tak berbalas, tapi jangan sampai cinta kita kepada rasulullah tak berbalas di akhirat nanti. Akak takkan hidup lama dik, akak takut sangat kalau-kalau akak belum cukup cinta rasulullah. Akak inginkan shafaat, akak ingin lihat wajah rasulullah. Akak takut nabi tak mengaku akak umatnya...”

“Shafiq! Shafiq! Shafiq!”  tiba-tiba lamunanku terhenti..rupa-rupanya kawanku, Fazwan memanggilku. Segera aku menutup TV yang tidak ditontonku dan beredar dari bilik TV itu

Sungguh, akhlak Rasulullah adalah sebaik-baik akhlak. Cinta Rasulullah tidak akan terbalas tanpa kita mengikuti akhlak, sunnah dan peribadinya. Moga Allah mencucuri rahmat kepadanya, para sahabat & ahli keluarganya serta yang telah menyedarkan diri ini. Aminn!

-Tamat-